Friday, July 8, 2011

Jimatkan tenaga elektrik (4)

Sedikit lagi panduan untuk memilih, membeli dan menggunakan peralatan elektrik:
  1. Jangan letakkan makanan yang masih panas ke dalam peti sejuk. Biarkan makanan itu sejuk sebelum memasukkannya ke dalam peti sejuk.
  2. Keluarkan bekas pembungkus makanan yang tidak diperlukan sebelum memasukkan ke dalam peti sejuk. Ia akan menjimatkan ruang dan tenaga elektrik.
  3. Yang akhir sekali tutup semua peralatan elektrik yang tidak digunakan untuk mengelakkan pembaziran elektrik pada setiap masa.

Saturday, July 2, 2011

Jimatkan tenaga elektrik (3)

Lagi panduan untuk memilih, membeli mahupun menggunakan peralatan elektrik:
  1. Peti sejuk menggunakan 21% daripada jumlah bekalan tenaga elektrik di rumah. Jadi belilah peti sejuk berdasarkan keperluan keluarga anda. Lebih besar peti sejuk yang digunakan, lebih besar jumlah perbelanjaan untuk bil elektrik anda.
  2. Mentol kalimantang adalah empat kali  lebih cerah daripada mentol bulat walaupun menggunakan watt yang sama dan tahan sehingga lapan kali lebih lama. Mentol yang kotor perlu dilap untuk mendapatkan kecerahan yang maksimum.
  3. Bersihkan kipas dan pastikan minyak pelincir mencukupi untuk melanjutkan tempoh kipas itu boleh berfungsi.

Thursday, June 30, 2011

Jimatkan tenaga elektrik (2)

Panduan untuk memilih, membeli mahupun menggunakan peralatan elektrik:
  1. Pilih penghawa dingin dengan kuasa yang bersesuaian dengan saiz bilik. Penghawa dingin biasa akan menggunakan 25%-35% daripada tenaga elektrik. Elakkan daripada meletakkan pemampat penghawa dingin di tempat yang terdedah kepada cahaya matahari.
  2. Uruskan masa dengan bijak apabila menggunakan seterika. Seterika adalah alat yang paling banyak menggunakan tenaga elektrik. Amalkan menggosok baju untuk seminggu sekaligus agar penggunaan seterika dapat dikurangkan.
  3. Pilih mentol yang bersesuaian (pada tempat yang ingin diterangkan). Jika boleh letakkan lampu disudut bilik. Ini akan lebih berkesan kerana lampu tersebut akan bertindak balas di kedua-dua sudut dinding.

Saturday, June 25, 2011

Jimatkan tenaga elektrik

Peralatan elektrik di rumah merupakan salah satu daripada penyumbang utama kepada pembaziran tenaga yang turut mempercepatkan pemanasan global. Keperihatinan kita ketika memilih, membeli atau menggunakan alat elektrik ini dapat menjimatkan tenaga dan wang serta memberi faedah yang besar kepada alam sekitar kita. 
Cuba panduan ini semasa membeli mahupun memilih ataupun menggunakan peralatan elektrik rumah anda:
1. Bersihkan dan periksa penapis alat hawa dingin rumah anda sekurang-kurangnya sebulan sekali. Talian kipas dan keseluruhan penghawa dingin harus diperiksa untuk memperbetulkan sebarang kerosakan mahupun sekadar untuk tujuan penyelenggaraan. Dengan cara ini, prestasi penghawa dingin anda dapat ditingkatkan. Namun begitu serahkan tugas ini kepada juruteknik yang pakar dalam melakukan perkara-perkara ini.
2. Kurangkan penggunaan penghawa dingin dengan menanam banyak pokok yang dapat memberikan teduh dan buka tingkap untuk membolehkan aliran udara keluar masuk.

Thursday, June 23, 2011

Menyimpan rekod perbelanjaan anda (2)

Terdapat banyak cara untuk merekodkan perbelanjaan anda. Anda boleh gunakan sama ada buku nota kecil, perisian komputer seperti Excel dan telefon bimbit. Yang penting sekali anda mesti konsisten dalam merekodkan segala perbelanjaan anda. Cuba sedaya upaya pada setiap hari untuk memastikan anda merekodkan perbelanjaan anda pada hari itu dan kaji perbelanjaan pada hari tersebut.

Seterusnya perkara yang paling penting ialah pada hujung bulan anda harus menganalisis rekod perbelanjaan anda itu. Lihat sama ada anda telah berbelanja mengikut jadual belanjawan yang telah anda tetapkan, lihat juga dimana anda telah berbelanja lebih, dan jika ya, anda telah berbelanja lebih apa yang perlu anda lakukan untuk mengawal perbelanjaan tersebut pada masa akan datang.

Dengan membuat penyesuaian dalam perbelanjaan anda, anda dapat mendisiplinkan diri untuk mengikut belanjawan dan mencapai matlamat kewangan anda. Mungkin ia bukan sesuatu yang mudah namun manfaat daripada usaha ini jauh akan dapat membantu anda mengatasi sebarang kesusahan yang anda hadapi dalam mengawal perbelanjaan anda.

Friday, June 17, 2011

Menyimpan rekod perbelanjaan anda

Dalam menyimpan rekod perbelanjaan anda, anda seharusnya mengkategorikan perbelanjaan anda. Anda boleh kategorikannya kepada 2 iaitu kategori perbelanjaan boleh ubah dan perbelanjaan tetap. Selepas itu kategorikan kepada mesti dan tidak mesti. Contohnya:
  • Perbelanjaan tetap dan mesti - sewa rumah, bayaran ansuran kereta, wang bulanan ibu bapa.
  • Tetap tetapi tidak mesti - yuran kelab golf.
  • Boleh ubah tetapi mesti - makan, minum bil-bil dan petrol kereta.
  • Boleh ubah dan tidak mesti - makan di tempat-tempat eksklusif bersama rakan dan hiburan.
Seterusnya anda harus memulakan satu diari harian. Setiap kali anda berbelanja, anda harus merekodkan:
  • Jumlah yang dibayar
  • Barangan yang dibeli
  • Tarikh pembelian
Lebih elok jika anda dapat simpan resit pembelian setiap barangan agar anda boleh membuat perancangan untuk perbelanjaan anda yang akan datang.

    Thursday, June 9, 2011

    Langkah-langkah ke arah perancangan kewangan (2)

    1. Membuat satu perancangan kewangan - seterusnya anda perlu membuat satu perancangan kewangan yang sesuai untuk keadaan kewangan dan matlamat kewangan anda. Perancangan tersebut hendaklah; mengikut kemampuan pendapatan bulanan anda, tidak mengganggu wang simpanan anda dan menyimpan untuk tabungan kecemasan.
    2. Melaksanakan perancangan kewangan anda - anda perlu mengikut budget yang telah anda sendiri tetapkan  untuk mencapai matlamat kewangan anda. Bila anda menangguhkan untuk mengikut budget yang anda sendiri telah tetapkan, ini bermakna anda sendiri akan melambatkan proses untuk mencapai matlamat kewangan anda.
    3. Memantau dan menilai perancangan kewangan anda - mengamalkan satu perancangan kewangan yang baik dengan sentiasa menyemak keadaan kewangan dan nilai bersih harta anda. Anda mungkin perlu mengubah perancangan anda dengan perubahan dalam hidup anda atau perubahan semasa.

    Monday, June 6, 2011

    Langkah-langkah ke arah perancangan kewangan

    Untuk memudahkan anda merancang kewangan anda, disini terdapat 5 langkah yang boleh digunakan, iaitu:
    1. Memahami keadaan kewangan semasa anda - anda perlu untuk memahami keadaan kewangan anda dengan mengambil kira semua aset dan tanggungan yang anda miliki. Aset bermaksud apa yang anda miliki seperti wang tunai dan wang simpanan manakala tanggungan ialah apa yang anda berhutang sama ada jenis hutang kad kredit ataupun pinjaman. Dengan mengambil kira semua aset dan tanggungan yang anda miliki dapat membolehkan anda untuk melihat sama ada anda berhutang atau tidak.
    2. Menetapkan satu matlamat kewangan anda - di pelbagai peringkat dalam kehidupan anda, terdapat pelbagai keutamaan, tanggungjawab dan tujuan kewangan yang berlainan. Setiap peringkat kehidupan anda mempunyai peluang melabur dan cabaran yang berbeza. Semasa peringkat kehidupan anda berubah, begitu juga dengan keperluan dan tujuan anda. Perancangan kewangan membolehkan anda bersedia untuk mencapai kejayaan dalam matlamat tersebut.

    Friday, June 3, 2011

    Ciri-ciri kedudukan kewangan yang sihat (3)

    1. Keupayaan untuk hidup sepenuhnya termasuk rekreasi, aktiviti keluarga dan percutian. Kehidupan akan terus berlalu sama ada anda ada mempunyai perancangan ataupun tidak. Ini bermakna anda perlu sentiasa beringat dalam menjalani kehidupan anda pada masa sekarang dan beringat-ingat untuk masa akan datang. Individu yang mempunyai kedudukan kewangan yang sihat dapat mengimbangi kewangannya pada masa kini dan seterusnya pada masa akan datang. Ada pendapat mengatakan yang setiap keluarga harus pergi bercuti setiap tahun sedangkan ini sepatutnya bergantung kepada kedudukan kewangan mereka sama ada sihat atau tidak.
    2. Keupayaan untuk membuat bayaran tunai untuk barangan runcit. Setiap hari anda mengeluarkan wang untuk perbelanjaan seharian anda. Ini bermaksud penting untuk anda mempunyai kedudukan kewangan yang sihat agar anda boleh membayar secara tunai barangan yang anda beli. Anda mungkin membayar barangan runcit dan barangan keperluan anda dengan kad kredit, jadi pastikan anda membayar penuh pada  setiap bulan. Jika tidak kadar faedah yang bakal dikenakan ke atas tunggakan baki kad kredit anda akan meningkat dan seterusnya meningkatkan jumlah perbelanjaan anda.
    3. Keupayaan untuk bertahan ketika menghadapi kecemasan. Kebanyakan kegawatan kewangan bersifat sementara. Keluarga yang mempunyai kedudukan kewangan yang kukuh sepatutnya mempunyai persediaan sekurang-kurangnya enam bulan perbelanjaan mereka daripada 'dana kecemasan'. Dibuang kerja, hilang pekerjaan atau diturunkan pangkat adalah sesuatu yang diluar jangkaan namun ia tidak sepatutnya boleh mengugat kehidupan anda.

    Saturday, May 21, 2011

    Langkah untuk menghadapi kegawatan ekonomi (3)

    • Jangan bertukar kerja. Syarikat yang menghadapi masalah kewangan semasa kegawatan akan mengurangkan bilangan kakitangannya dan selalunya yang mula-mula akan diberhentikan kerja ialah kakitangan yang baru.
    • Pelajari kemahiran dan pengetahuan baru. Kita perlu berusaha untuk mempelajari sesuatu ilmu atau kemahiran yang baru agar kita tidak mudah tertipu dan dapat membuat pilihan yang tepat dan bijak. Contohnya seperti mengetahui kaedah membuat perbandingan harga ketika membeli belah, membeli barang secara tunai berbanding kad kredit, tidak membawa anak-anak bersama ketika membeli belah, menggunakan pengangkutan awam dengan lebih kerap, membuat senarai barang dan memastikan ianya diikuti dan tidak menyeleweng darinya ketika berbelanja.

    Thursday, May 19, 2011

    Langkah untuk menghadapi kegawatan ekonomi (2)

    • Simpan sebahagian daripada gaji bulanan anda untuk tujuan kecemasan. Buat semakan di beberapa buah bank yang dapat memberikan kadar faedah yang lebih tinggi atau perbankan Islam yang menawarkan keuntungan mudharabah yang tinggi.
    • Kurangkan bayaran pinjaman perumahan. Biasanya apabila kegawatan ekonomi berlaku, kadar faedah bank akan dikurangkan jadi gunakan kesempatan ini untuk mengurangkan bayaran pinjaman perumahan atau kenderaan.
    • Panjangkan tempoh pembayaran bulanan. Namun jangan sesekali menghentikan pembayaran bulanan anda kerana ini akan menyebabkan tunggakan dan seterusnya kadar faedah juga akan dikenakan.

    Saturday, May 14, 2011

    Langkah untuk menghadapi kegawatan ekonomi

    Dalam keadaan ekonomi yang tak menentu pada masa kini, pelbagai kemungkinan boleh berlaku. Untuk mereka yang bekerja, kegawatan ekonomi banyak memberikan kesan kepada mereka seperti hilang pekerjaan, gaji dipotong, pengurangan elaun dan sebagainya. Disini ingin dikongsikan beberapa langkah dalam menghadapi kegawatan ekonomi agar dapat mengurangkan kesannya terutama dari segi kewangan.
    • Kurangkan hutang. Bayar sekaligus hutang kad kredit atau mengurangkan bayaran pinjaman. Pastikan anda membayar pada kadar faedah yang paling rendah untuk pinjaman sedia ada.
    • Kurangkan perbelanjaan. Jadikannya sebagai satu keutamaan. Pertimbangkan rancangan percutian anda keluar negara atau pembelian televisyen skrin rata yang mungkin boleh ditangguhkan pada tahun akan datang. Lakukan sedikit pengorbanan untuk tahun ini dan hidup dengan perbelanjaan yang telah anda rancangkan.
    • Kurangkan bil. Pastikan anda menggunakan secermat yang mungkin elektrik, telefon dan air. Ini dapat membantu mengurangkan bayaran bil bagi kegunaan utiliti ini.

    Monday, May 9, 2011

    Ciri-ciri kedudukan kewangan yang sihat (2)

    1. Kebolehan untuk hidup tanpa bergantung kepada hutang pengguna. Hampir semua rakyat Malaysia mempunyai hutang pengguna dimana kebanyakkan pengguna mempunyai kad kredit (bukan sahaja ada satu kad malah ada yang lebih beberapa kad) dan sesetengah pula menanggung hutang yang tertunggak dari satu bulan ke satu bulan yang lain. Untuk pengetahuan anda kereta yang dibeli melalui sewa beli juga adalah sejenis hutang. Hutang pengguna boleh didefinisikan sebagai proses meminjam wang untuk sesuatu yang nilainya akan berkurangan selepas membelinya. Contohnya golongan muda yang baru bekerja akan menggunakan kemudahan hutang pengguna untuk membeli peralatan rumah yang baru atau kereta. Terdapat juga golongan pekerja yang bergantung kepada hutang untuk menyara hidup sehingga akhir bulan kerana masalah kewangan.
    2. Keupayaan untuk memberi pelajaran yang dapat menjamin masa depan anak-anak. Anak-anak memerlukan persediaan untuk mendapat pekerjaan yang dapat menjamin masa depan mereka. Ini bermakna anda perlu melabur dengan memberikan pendidikan yang secukupnya kepada anak-anak anda agar ia dapat memberi pulangan yang baik pada masa hadapan. Graduan lulusan universiti boleh menjana pendapatan lebih daripada dua kali ganda pendapatan seumur hidup seorang lepasan SPM dan empat kali ganda pendapatan seumur hidup bagi mereka yang berhenti sekolah tanpa mempunyai sebarang kelulusan. Sebaik-baiknya anda telah menyediakan dana apabila diperlukan kelak. Anda patut memilih jalan yang boleh membawa kepada kehidupan yang lebih baik.

      Thursday, May 5, 2011

      Ciri-ciri kedudukan kewangan yang sihat

      Bagaimana caranya untuk anda mengetahui sama ada anda mempunyai kewangan yang sihat? Berikut merupakan panduan yang boleh anda gunakan untuk mengetahui ciri-ciri kewangan yang sihat:-
      1. Keupayaan memilikki rumah bebas hutang sebelum bersara. Pada hari ini dengan membayar 10% sebagai wang pendahuluan anda sudah boleh memiliki rumah idaman anda. Bayaran ansuran bulanan sepatutnya sudah habis dibayar sebelum bersara. Namun kini ada sesetengah institusi kewangan memanjangkan tempoh pembayaran sehingga sehingga anda berumur 75 tahun. Kemudahan ini membantu dalam mengurangkan bayaran ansuran bulanan namun ini mungkin bermakna anda tidak boleh bersara sehinggalah anda berumur 75 tahun!
      2. Keupayaan untuk menikmati persaraan yang terjamin dan dihormati. Kajian menunjukkan kurang daripada 5% individu mempunyai kebebasan kewangan semasa bersara. Sebahagian besarnya akan mengalami keadaan kewangan yang mengecewakan. Oleh itu amalkanlah menabung duit sebanyak yang boleh ketika anda masih menjana pendapatan  bak kata pepatah 'bersusah-susah dahulu bersenang-senang kemudian'.

      Tuesday, May 3, 2011

      Langkah bijak membeli telefon bimbit terpakai

      Telefon bimbit pada zaman sekarang ni merupakan satu kemestian dan rasanya memang payah nak dicari orang yang takde telefon bimbit ni. Ada juga sesetengah orang yang ingin memakai telefon bimbit yang canggih manggih tetapi tak berkeupayaan untuk membelinya dek kerana harganya yang mahal dan anda merasakan duit yang lebih tu lebih baik disimpan untuk kegunaan di masa hadapan. Jadi kepada sesiapa yang memasang niat untuk membeli telefon bimbit terpakai boleh le menggunakan tips-tips ini:
      1. Periksa nombor siri yang ada pada handphone.
      2. Pastikan pembelian lengkap dengan surat-surat pembelian untuk memastikan anda tidak tertipu dan tidak terbeli barangan curi.
      3. Pastikan fungsi speakernya juga masih berfungsi
      4. Cuba buat panggilan untuk memastikan sama ada baterinya masih dalam keadaan baik atau tidak. 
      5. Charge telefon tersebut dan jika baterinya cepat penuh ia bermakna telefon tersebut telah rosak.
      6. Periksa bateri sama ada palsu atau asli.
      7. Periksa keadaan keypad, on-off menu seperti sms, voice call, ringtone kamera, radio dan yang sewaktu dengannya.
      8. Jika terdapat kerosakan atau kekurangan pada telefon itu anda masih boleh membuat tawaran untuk mengurangkan harga.

      Sunday, May 1, 2011

      Petua poket sentiasa berisi

      1. Jangan berbelanja tanpa membawa senarai barang yang hendak dibeli.
      2. Kurangkan aktiviti 'windows shopping'
      3. Kad kredit tinggalkan dirumah dan bawa wang secukupnya ketika berbelanja.
      4. Tahan diri dari godaan SALE
      5. Fikirkan adakah barang yang anda hendak beli benar-benar diperlukan atau tidak.
      6. Cubalah ber'diet' kewangan setiap bulan.
      7. Jadikan satu hari dalam sebulan hari tidak berbelanja, luangkan masa anda di rumah.

      Tuesday, April 26, 2011

      Berjimat ketika melancong (2)

      1. Pengangkutan - bila nak pergi melancong pastikan anda tahu jenis-jenis pengangkutan yang disediakan supaya mudah untuk anda bergerak serta merancang aktiviti dan tempat yang anda ingin lawati. Pilih pengangkutan yang paling murah dan ekonomi serta pemandu pelancong yang tahu tentang selok belok tempat yang anda ingin lawati agar anda tidak mudah sesat atau ditipu.
      2. Peta - sebaik sahaja anda mengetahui tempat yang anda bakal lawati pastikan anda membeli peta tempat tersebut. Ini akan memudahkan anda dari segi mengetahui tempat-tempat yang menarik untuk dilawati, jenis pengangkutan yang disediakan supaya anda boleh membuat perancangan sebaik mungkin.
      3. Sarapan percuma - manfaatkan sarapan percuma yang disediakan oleh pihak hotel dan makan sehingga kenyang. Ini juga salah satu cara yang boleh membantu anda mengurangkan perbelanjaan ketika melancong.
      4. Kad kredit - kad kredit amat penting terutamanya apabila anda bercuti keluar negara. Membawa wang tunai dengan banyak boleh mendedahkan anda kepada kecurian. Jadi dengan menggunakan kad kredit anda tidak perlu risau akan risiko duit dicuri. Namun demikian pastikan anda menggunakan kad kredit dengan bijak dan berhemah serta tidak melebihi 'budget' yang telah anda tetapkan.

      Sunday, April 24, 2011

      Berjimat ketika melancong

      Aktiviti melancong bersama keluarga merupakan salah satu aktiviti yang sering ditunggu-tunggu terutamanya anak-anak. Bagi yang bekerja ia merupakan satu aktiviti untuk merehatkan minda dan bebas seketika dari belenggu kerja. Namun begitu untuk pergi melancong anda patut melakukan pelbagai perancangan terutamanya dari segi belanjawan agar aktiviti pelancongan anda berjalan lancar dan seterusnya dapat mengelakkan pembaziran. Berikut merupakan beberapa tip yang boleh diamalkan jika anda merancang untuk pergi melancong, tidak kiralah melancong dalam negara mahupun luar negara.
      1. Menabung - yang ni memang penting sebab bila anda menabung anda dapat membuat persiapan yang secukupnya terutama dari segi kewangan untuk aktiviti pelancongan anda. Disiplinkan diri anda dan terus fokus pada perancangan pelancongan anda
      2. Perancangan Percutian - bila nak pergi bercuti pastikan perancangan anda rapi dan teratur. Tentukan negara atau tempat yang anda ingin pergi, kos tempat penginapan yang bakal anda duduki, tempat-tempat menarik yang ingin dilawati, pengangkutan yang akan digunakan, tambang pengangkutan tersebut agar anda dapat menjimatkan masa, tenaga dan perbelanjaan. 
      3. Pakej Promosi - dah sudah pilih negara yang anda ingin pergi, lihat pula pakej promosi yang disediakan. Sekarang ni memang dah banyak promosi pelancongan disediakan. Apa yang anda perlu buat ialah hubungi ejen pelancongan dan cari pakej promosi yang sesuai dengan anda dan budget anda.
      4. Tempahan awal - ini juga merupakan satu cara untuk anda berjimat bila nak pergi melancong kerana selalunya bila anda tempah tiket penerbangan awal anda akan diberikan diskaun atau harga yang lebih rendah berbanding bila anda tempah di saat akhir. Harganya akan jadi lebih mahal dan ini akan merugikan anda. Tempahan awal juga dapat membantu anda mengelakkan sebarang masalah semasa percutian anda.

      Tuesday, April 19, 2011

      Menjimatkan penggunaan elektrik

      Penggunaan elektrik yang terlalu banyak boleh menyebabkan bil elektrik anda melambung setiap bulan dan ini tentunya bakal menjejaskan jadual perbelanjaan bulanan yang telah anda sediakan. Bila bil elektrik dah melambung waktu tulah baru kita nak berusaha untuk menjimatkan penggunaan elektrik. Jadi disini ingin saya kongsikan sedikit tips untuk menjimatkan elektrik.
      1. Pastikan lampu-lampu bilik yang tiada penghuninya dipadamkan. 
      2. Bila anda buka lampu bilik dan kemudiannya keluar untuk seketika dan bercadang untuk masuk balik ke dalam bilik tersebut, lampunya tidak perlu dimatikan. Ini kerana penggunaan elektrik yang diperlukan untuk menghidupkan kembali lampu itu adalah lebih tinggi berbanding membiarkan lampu itu terbuka.
      3. Tutup televisyen bila tidak ditengok. Kalau takut 'televisyen' tengok anda, cuba amalkan untuk set timer yang ada di remote control tv tu. Jadi in case anda tertidur, tv tu akan mati mengikut waktu yang telah anda tetapkan di set timer remote control.
      4. Kurangkan membuka peti sejuk, terutamanya ketika memasak. Bila nak memasak pastikan anda keluarkan terlebih dahulu bahan-bahan untuk dimasak supaya dapat menghindarkan dari peti sejuk terlalu banyak di tutup dan dibuka.
      5. Rancang masa untuk menggosok baju. Seterika merupakan salah satu alat yang paling 'kuat' makan elektrik. Jadi bila nak menggosok baju, tentukan harinya dan kumpulkan baju-baju yang anda hendak gosok dan gosok sekaligus semua baju-baju tu agar anda dapat menjimatkan penggunaan elektrik.

      Friday, April 15, 2011

      Kesilapan yang biasa dilakukan (2)

      1. Tidak menetapkan matlamat
      -Bila anda tiada matlamat, anda tidak tahu apa tujuan anda bekerja keras mendapatkan duit. Dengan adanya matlamat anda tahu apa yang anda ingin capai. Contohnya tahun ini anda nak simpan RM50,000 dalam bank dan anda tahu yang anda perlu berusaha untuk mencapai matlamat ini. Ini bermakna anda akan lakukan apa yang anda termampu untuk capai matlamat. 
      2. Gagal untuk menyimpan
      - Contohnya anda bercadang untuk menyimpan RM200 bulan ini. Tetapi disebabkan ada keluar beg tangan berjenama terbaru di pasaran, anda laburkan RM200 tu pada beg tangan. Bila bulan seterusnya anda hendak menyimpan, ada pula halangan lain yang membantutkan hasrat anda untuk menyimpan duit. Macam ni memang sampai bila-bilalah anda tidak menyimpan duit.
      3. Masuk pelaburan yang salah
      - Sekarang ni dah macam-macam pelaburan yang boleh anda buat untuk menjana duit lebih. Tetapi awas! Bila nak masuk pelaburan tu, selidik-selidiklah apa yang patut. Jangan disebabkan dengar je boleh dapat untung dalam masa yang singkat terus masuk. 
      4. Amalan suka berhutang
      - Jangan disebabkan anda boleh membuat pinjaman untuk mendapatkan sesuatu yang anda idamkan, anda amalkan sikap suka berhutang. Nanti hutang tak mampu bayar, anda yang diisytiharkan bankrap. Kan susah tu.

      Monday, April 11, 2011

      Tips pengurusan kewangan untuk pelajar kolej (2)

      Sedikit lagi tips yang ingin saya kongsikan dengan anda semua tentang pengurusan kewangan sebagai seorang pelajar kolej.
      1. Amalkan tabiat menyimpan/menabung-jangan ingat masa sekolah je kena simpan duit untuk masuk U, dah masuk U pun kena simpan juga duit, ni untuk masa depan pula. Bagi yang bekerja sambilan, amalkan untuk mengasingkan sedikit duit gaji anda, walaupun RM10 sebulan. Menyimpan RM10 sebulan lebih elok daripada tunggu dah lepas kerja baru nak menyimpan. 
      2. Bila dah bekerja, mesti dah ada benda yang nak dibeli. Maklumlah dah bekerja. Tapi awas bila nak membeli. Bezakan antara kehendak dan keperluan. Penting atau tidak benda yang anda ingin beli tu. Kalau setakat untuk hiburan, baik batalkan niat tu. Simpan duit tu untuk waktu memerlukan nanti.
      3. Gunakan kad kredit dengan bijak. Pada yang menggunakan kad kredit, pastikan penggunaan tidak melebihi had dan bayar hutang tepat pada masanya. Penggunaan kad kredit bukan bermakna anda bebas berbelanja semahu-mahunya, ia cuma satu medium yang memudahkan anda dalam membuat urusniaga harian. Jadi pada yang memakai kad kredit, pastikan anda menggunakan ianya dengan baik.

      Tuesday, April 5, 2011

      Tips pengurusan kewangan untuk para pelajar kolej/universiti

      Kehidupan sebagai seorang pelajar kolej/universiti sememangnya menyeronokkan. Kehidupan yang menyeronokkan ini takkan bermakna sekiranya anda tidak tahu bagaimana untuk menguruskan kewangan dengan lebih efektif. Yelah, bila nak pergi enjoy, mesti kena ada duit betul tak? Disini ada sedikit tips yang ingin saya kongsikan:
      1. Hidup seperti seorang pelajar kolej. Ingat yang anda ni seorang pelajar kolej, masih belum ada pendapatan tetap lagi, jadi jangan hidup seperti seorang eksekutif yang mempunyai pendapatan 4 angka sebulan atau anda boleh,
      2. Mencari pekerjaan sampingan. Pekerjaan sampingan boleh membantu anda menyimpan duit khas untuk waktu kecemasan, atau untuk membeli buku, atau untuk sesekali bershopping. Jadi takdelah terlalu berharap sangat dari ibu dan ayah.
      3. Buat jadual belanjawan. Jadual belanjawan boleh membantu dalam menguruskan kewangan harian dengan baik. 
      4. Belajar memasak. Bagi pelajar kolej yang menyewa bersama rakan-rakan, cuba amalkan memasak di rumah. Bukan sahaja terjamin kebersihannya malah dapat mengurangkan kos makan di luar. Jadi pada yang tidak pandai memasak, belajar-belajarlah memasak.

      Thursday, March 31, 2011

      Elakkan memandu kenderaan sendiri ke tempat kerja

      Cuba untuk elakkan memandu kenderaan sendiri terutamanya ke tempat kerja. Amalkan menaiki LRT, komuter atau bas ke tempat kerja. Atau kalau anda rasa leceh, cuba pakat dengan kawan-kawan untuk berkongsi kereta ke tempat kerja. Dengan cara ini anda bukan sahaja dapat mengeratkan silaturahim dengan kawan-kawan malah dapat menjimatkan minyak kereta dan wang anda!

      Friday, March 25, 2011

      Kelebihan menggunakan kad debit

      1. Membolehkan anda membayar barang-barang yang anda beli tanpa perlu menggunakan duit tunai dalam erti kata lain bila anda nak bershopping, bawa je kad sekeping tu pun dah boleh bayar untuk barang yang anda beli.
      2. Bila anda membayar dengan menggunakan kad debit, duit akan ditolak terus dari dalam akaun anda, maknanya anda tidak perlu risau tentang hutang di hujung bulan. Tapi pastikan ada baki dalam akaun anda, kalau tak, tak boleh buat pembayaran lah jawabnya.
      3. Membantu anda mengawal perbelanjaan setiap bulan agar tidak melebihi dari apa yang anda telah rancang. 
      4. Mendidik anda supaya lebih berjimat, sebab bila dah banyak sangat guna kad debit, duit dalam akaun mesti berkurangan kan, jadi untuk memastikan sentiasa ada baki dalam akaun, pastikan anda tidak terlalu banyak berbelanja, terutamanya ke arah perbelanjaan yang tidak berfaedah.

      Friday, March 18, 2011

      Cara untuk mengurangkan hutang kad kredit

      1. Nak mengelakkan hutang bertambah lebih banyak, gunakan hanya 1 kredit sahaja. 
      2. Pilih kad kredit yang menawarkan kos, caj tahunan dan yuran servis yang paling rendah.
      3. Pastikan membayar baki kad kredit setiap hujung. Bayar habis dan kalau tak boleh juga, bayar lebih dari jumlah minimum. 
      4. Cajkan penggunaan kad kredit hanya untuk pembelian barangan yang anda mampu bayar kembali, dalam erti kata lain, berbelanja hanya ikut kemampuan anda.
      5. Jangan lambat bayar baki kad kredit. Ada sesetengah bank, jika anda gagal membayar baki pada hujung bulan tersebut, RM50 akan dicajkan ke atas baki hutang kad kredit anda. Malah jika anda gagal membayar hutang kad kredit anda selama 1-2 bulan, ini akan direkodkan dan dimasukkan ke dalam rekod kredit anda di Bank Negara Malaysia (Lapaoran CCRIS)
      6. Cara terakhir untuk anda mengelakkan hutang kad kredit anda ialah dengan tidak memakai kad kredit, cuba amalkan memakai kad debit.

      Tuesday, March 15, 2011

      Jana side income secara online



      Salah satu cara untuk menambah pendapatan adalah dengan menjana side income.Disini ada satu video yang telah saya jumpai di internet dan ia terbukti berkesan dan bukan satu penipuan. Saya telah pun mendapat pulangan duit dan duit telah dan sedang masuk dalam akaun saya. Kini saya telah bebas dari masalah kewangan.

      Saturday, March 12, 2011

      Kelebihan membuat jadual belanjawan

      Membuat jadual belanjawan banyak faedahnya antaranya membantu anda membuat persediaan untuk perbelanjaan jangka masa pendek seperti bayaran bil bulanan, dan juga perbelanjaan jangka masa panjang seperti simpanan pendidikan anak-anak, membeli rumah dan menyimpan duit untuk tujuan persaraan. Ini kerana apabila anda mempunyai jadual belanjawan yang terbentang di depan mata anda, anda boleh lihat sendiri aliran keluar dan masuk duit anda, berapa banyak yang anda simpan dan kemana anda laburkan duit anda. Cara ini boleh membantu anda membuat perancangan dengan lebih teliti lagi dimana anda boleh lihat mana perbelanjaan yang tidak perlu ataupun boleh dikurangkan lagi dan mana perbelanjaan yang perlu ditambah lagi seperti membayar hutang kad kredit dengan lebih segera.

      Thursday, March 10, 2011

      Kesalahan yang biasa dilakukan

      Antara kesalahan yang biasa dilakukan dalam pengurusan kewangan yang berhemah ialah:
      1. Tidak menggunakan jadual belanjawan yang telah disediakan. Dimana anda ada membuat jadual belanjawan tapi ia hanya 'on paper' sahaja. Buat jadual tu supaya nanti bila orang tanya, anda boleh jawab yang anda ada buat jadual. Jadual belanjawan sepatutnya merekodkan aliran duit keluar dan masuk anda. Bila anda tidak menggunakannya, anda tidak akan dapat mengenal pasti arah aliran kewangan anda sama ada ke arah positif atau negatif. Anda juga tidak dapat mengetahui ke mana aliran keluar wang anda, dari mana duit masuk dan berapa jumlah baki duit dalam akaun anda.
      2. Buat senarai barang tapi tak ikut. Ini merupakan yang paling biasa berlaku. Selalunya sebelum keluar rumah, anda akan membuat senarai barang-barang yang anda ingin beli, tapi bila dah sampai kat kedai, bila anda dah beli semua barang yang sepatutnya anda beli dan anda lihat masih ada baki lagi di dalam tangan anda, anda dengan segera membeli barang yang anda rasa nak beli. Bukankah elok jika duit lebih itu disimpan dan digunakan hanya bila betul-betul perlu sahaja?

      Tuesday, March 8, 2011

      Jual baju yang telah dipakai

      Kepada fashionista di luar sana, saya tahu anda cukup suka ber'shopping'. Kalau boleh anda ingin ber'shopping' setiap hari bukan? Tetapi bila dah masuk pertengahan bulan baru anda perasan yang baki akaun di dalam bank dah hampir kosong. Ni nak buat macam mana ye? Ok, sekarang anda tahu satu keburukan anda ialah anda suka ber'shopping'. Jadikan ia satu kelebihan. Lihat balik almari baju anda yang telah dipenuhi dengan baju-baju yang rasanya cuma baru 2  3 kali dipakai disebabkan terlalu banyak baju. Pilih baju-baju tu. Asingkan baju-baju yang anda memang sayang, dan rasa nak pakai selalu, kemudian pilih pula baju yang rasanya dah lama anda beli tapi baru 2 3 kali pakai dan anda dah tak mahu pakai lagi atau anda dah tak muat pakai lagi. Kemudian buatlah lelongan di internet ataupun jual dengan kawan-kawan yang memang teringin nak memiliki koleksi baju seperti  anda tapi tak mampu disebabkan duit yang selalu tak cukup. Tapi pastikan bila anda nak jual berilah potongan diskaun 50% ke 70%, ikut suka anda lagipun baju tu dah dipakai takkan nak jual dengan harga anda beli dulu kan. Duit yang anda dapat hasil jualan tu bolehlah anda gunakan untuk 'survive' sehingga ke hujung bulan sementara menanti gaji masuk.

      Sunday, March 6, 2011

      Gunakan 1 kad kredit sahaja

      Pada masa kini, kemudahan kad kredit banyak memainkan peranan penting dalam kehidupan seharian terutamanya ketika berbelanja. Jika anda menggunakan lebih dari satu kad kredit, ia akan menyebabkan anda mengalami lebih banyak masalah hutang yang bertimbun. Silap haribulan kad kredit ini boleh membuatkan anda menjadi bankrup. Ini kerana kadar faedah(interest) untuk setiap kad kredit adalah berlainan dan ia akan sentiasa naik. Apa yang saya lihat apabila hujung bulan, kebanyakan orang hanya membayar jumlah minimum dan ini mungkin hanya bunga sahaja dan anda masih belum membayar jumlah sebenar hutang anda. Semakin lama anda tangguhkan pembayaran keseluruhan hutang anda, semakin naiklah faedah setiap kad kredit itu. Oleh itu pakailah hanya satu kad kredit sahaja dan langsaikan hutang anda secepat yang mungkin, jadikan kad kredit satu kemudahan dan bukan satu bebanan.


      Thursday, March 3, 2011

      Berhenti merokok

      Mungkin sesetengah orang tertanya-tanya apa kaitan berhenti merokok dengan pengurusan kewangan yang baik. Memang ada kaitannya. Ok, anda bayangkan rokok yang anda beli tu sekotak harganya RM5, tu baru sekotak rokok kalau anda hisap satu hari 2 kotak? Kalau sebulan? Anda kiralah sendiri. Bukankah duit itu lebih baik disimpan atau dilaburkan ke arah yang lebih berfaedah. Tiada faedahnya merokok ni sebenarnya, memang boleh tolong 'release tension', tapi nanti bila dah sakit, tengok ajelah tension tu datang balik. Merokok banyak mengundang penyakit dari mencegahnya. Jadi pada sesiapa yang merokok tu, bawalah cuba berhenti. Memang susah pada mulanya, tapi kalau kita ada keazaman yang tinggi, insyaallah boleh.

      Tuesday, March 1, 2011

      Sediakan sampul surat

      Salah satu cara yang turut sesuai digunakan untuk menguruskan kewangan ialah dengan menyediakan sampul surat. Sampul surat? Bagaimana? Sediakan beberapa keping sampul surat yang kosong lagi bagus yang berwarna putih. Kemudian di atas setiap keping sampul surat tu tuliskan contohnya duit barang dapur, duit tuisyen, duit belanja harian, duit untuk berhibur dan sebagainya. Kemudian masukkan duit yang secukupnya untuk sebulan, contohnya belanja dapur RM300, masukkan RM300 ke dalam sampul surat tu. Lepas itu bila anda hendak berbelanja barang dapur, gunakan duit di dalam sampul surat tu. Pastikan sampul surat hanya kosong apabila hujung bulan kalau ada isi selepas hujung bulan pun bagus juga. Jangan baru tengah bulan sampul surat ini dah kosong, ok. Ini bermakna anda telah berbelanja lebih dari apa yang anda 'budget'. Jadi fikir-fikirlah sendiri.

      Sunday, February 27, 2011

      Bersederhana dalam berbelanja

      Bersederhana dalam berbelanja boleh membawa kebaikan kepada anda. Dengan bersederhana anda tidak akan rasa menyesal apabila berbelanja. Saya ambil contoh, seseorang yang pergi membeli belah untuk mencari 'dress' telah menjumpai dua helai 'dress' yang sesuai untuk dirinya. Satu 'dress' berharga ratusan ringgit dan berjenama, manakala satu helai lagi hanya berharga puluhan ringgit dan tidak berjenama. Sekiranya dia seorang yang suka bersederhana maka dia akan memilih untuk membeli 'dress' yang berharga puluhan ringgit walaupun ia tidak berjenama. Dengan cara ini dia dapat bersederhana dan seterusnya dapat mengelakkan pembaziran terutama dari segi duit. Malah bersederhana dituntut dan disukai dalam Islam.

      Friday, February 25, 2011

      Ambil polisi takaful atau insuran

      Mengambil polisi takaful atau insuran banyak kelebihannya dan amat berguna terutama apabila anda ditimpa sesuatu kemalangan yang tidak diingini. Ia dapat membantu anda dalam menampung kos perubatan sekaligus mengurangkan duit yang anda keluarkan. Bukan itu sahaja polisi insuran atau takaful boleh juga dijadikan sebagai salah satu cara menyimpan duit kerana sekiranya anda tidak mengalami apa-apa kemalangan sepanjang anda mengambil takaful atau insuran, duit itu akan jadi sebagai simpanan anda dan boleh dikeluarkan sebaik matang atau cukup tempoh. Ia seperti 2 dalam 1, perlindungan dan pelaburan! Cukup menguntungkan!

      Wednesday, February 23, 2011

      Kumpul "point."

      Kumpul "point" dari setiap "shopping card" yang anda ada, juga membolehkan anda menguruskan kewangan dengan lebih baik. Bagaimana? Contohnya kepada sesiapa yang memiliki J-Card, saya pasti anda akan menggunakannya setiap kali pergi membeli belah di Jusco. Banyak kelebihan apabila anda membeli belah menggunakan J-Card ini. Dengan membeli menggunakan J-Card ini anda boleh mengumpul  "point" yang mana "point" ini boleh anda tukar ke bentuk "voucher". "Voucher" ini mempunyai fungsi yang sama dengan duit, dimana anda boleh membayar semua barangan yang anda beli di Jusco dengan menggunakan "voucher" ini. Cara ini dapat membantu anda menyimpan lebih banyak duit dan seterusnya boleh digunakan sekiranya ada kecemasan.

      Tuesday, February 22, 2011

      Amalkan konsep penjimatan

      Cuba jadikan konsep penjimatan satu amalan dalam hidup anda. Cuba berjimat dalam apa jua cara. Pergi kerja dengan membawa bekal, membawa duit yang secukupnya agar anda tidak membeli lebih dari sepatutnya, membeli barang ketika waktu sale, ketika tawaran penghabisan stok, berkongsi kereta ke tempat kerja,atau menaiki pengangkutan awam ke tempat kerja, membeli barang terpakai yang masih elok kerana ia selalunya jauh lebih murah. Dengan cara ini kita dapat berjimat dan simpan duit dengan lebih banyak lagi.

      Monday, February 21, 2011

      Simpan resit belian barang

      Bila anda menyimpan resit belian barang, anda dapat 'keep track' perbelanjaan seharian anda, apa yang anda belanjakan dengan duit anda setiap hari, berapa harga barang keperluan yang anda beli dan melihat ke mana arah aliran duit anda. Dengan cara itu, apabila anda keluar membeli belah lagi, anda dapat mengagak jumlah wang yang perlu dibawa. Jadi anda tidak akan bawa lebih, dan anda pun tidak akan terbeli barang yang bukan-bukan dan seterusnya berbelanja mengikut 'budget' anda.

      Sunday, February 20, 2011

      Buat senarai barang

      Penting untuk anda membuat senarai barang sebelum pergi berbelanja barang keperluan. Ini bukan sahaja dapat memudahkan anda, malah ia akan memastikan anda tidak akan tertinggal satu pun barang yang anda ingin beli. Ini juga dapat mengelakkan anda dari membeli barang yang bukan-bukan yang tidak termasuk dalam 'list' anda disebabkan anda terlupa untuk membuat senarai barang.

      Saturday, February 19, 2011

      Elakkan diri dari berhutang

      Pengurusan kewangan yang baik bermakna anda sentiasa mempunyai duit yang diperlukan ketika kecemasan. Tetapi apabila anda tiada duit, cuba elakkan seboleh-bolehnya dari berhutang. Berhutang tidak membawa manfaat kepada anda. Ia lebih kepada membawa keburukan kepada anda. Jika anda berhutang dengan kawan, kawan anda mungkin tidak kisah jika anda membayar lambat, tetapi sekiranya anda meminjam dengan ah long? Memanglah anda boleh meminjam berapa banyak yang anda mahu, tetapi andai anda lambat membayar, bunganya akan naik berganda-ganda, silap haribulan nyawa anda pun boleh melayang. Hutang juga akan menyebabkan kewangan anda menjadi tidak 'balance', dimana duit yang anda selalu peruntukan untuk simpanan setiap bulan terpaksa diasingkan khas untuk mebayar hutang. Kalau boleh elakkan berhutang kecuali jika anda tiada pilihan lain.

      Friday, February 18, 2011

      Buat diari

      Setelah sehari suntuk berada di pejabat dan apabila anda pulang ke rumah, pastikan anda tulis atau buat satu diari yang merekodkan semua perbelanjaan anda secara terperinci setiap hari. Tuliskan jumlah wang yang anda belanjakan pada hari itu dan untuk tujuan apa. Dengan cara ini anda akan dapat mengesan corak perbelanjaan anda setiap hari dan cuba mengenal pasti kelemahan dalam perbelanjaan anda dan cuba untuk memperbaikinya.

      Thursday, February 17, 2011

      Belian secara tunai (sambungan)

      Semalam kita bercerita tentang belian secara tunai. Ok, bagaimana nak membeli secara tunai? Ini adalah apa yang kami sekeluarga praktikkan. Contohnya saya ingin membeli sebuah DVD Portable Player yang berharga RM500. Matlamat saya adalah untuk memilikinya selepas 2 bulan. 2 bulan bermakna saya perlu menyimpan RM250 sebulan bersamaan RM8.33 sehari. Saya akan mula menyimpan dengan menggunakan duit lebihan saya pada hari tersebut. Walaupun anda rasa ia memakan masa yang lama tapi ia sebenarnya berbaloi kerana setelah memilikinya anda akan merasa sesuatu kepuasan yang tidak dapat ditafsirkan dengan kata-kata. Malahan anda tidak perlu risau apabila tiada duit pada hujung bulan kerana anda tidak berhutang dengan sesiapa. Anda telah pun mengelakkan diri anda daripada terjerumus ke dalam satu masalah yang sering dialami oleh segelintir masyarakat yang suka berhutang.

      Wednesday, February 16, 2011

      Belian secara tunai

      Seboleh-bolehnya elakkan membeli barang secara berhutang. Mungkin anda rasa dengan membeli barang secara berhutang, duit yang anda keluarkan adalah sedikit kerana anda hanya perlu membayar pada hujung bulan, tapi sebenarnya barang yang anda beli itu menjadi lebih mahal dengan membeli secara hutang, anda cuma tidak menyedarinya. Oleh itu cuba amalkan membeli barang secara tunai. Bila anda membeli barang secara tunai, tidak akan ada konflik yang akan timbul terutamanya bila anda tiada duit pada hujung bulan untuk membayar hutnag anda.


      Tuesday, February 15, 2011

      Kurangkan perbelanjaan yang tidak berfaedah

      Kepada yang suka 'outdoor' aktiviti, seperti tengok wayang, dan ber'shopping', dalam erti kata lain, aktiviti yang perlu keluar duit, kini mungkin sudah tiba masa untuk anda berfikir untuk mengurangkan aktiviti-aktiviti 'outdoor' tu, terutamanya bila anda tengok 'card credit statement' yang dah bertunggak 2 bulan, simpanan anda yang makin susut disebabkan tabiat 'outdoor' anda tu, ibu dikampung mengadu duit yang anda berikan semakin kurang malah anda meminta duit padanya dan bermacam-macam lagi. Kalau dah macam ni gayanya, anda memang perlu mula berfikir untuk kurangkan berbelanja. Pada yang suka tengok wayang, kurang2kanlah menjejakkan kaki kat panggung tu, mulakanlah melanggan astro first yang dah ditawarkan oleh astro, lagi jimat. Jimat duit parking kereta, duit tiket, duit minyak kereta malah dengan astro first tu anda boleh bersantai bersama keluarga. Bukankah tu yang semua orang mahukan? Lebih masa bersama keluarga?

      Monday, February 14, 2011

      Semaikan tabiat membaca buku

      Untuk memastikan sistem pengurusan kewangan anda berjalan dengan lebih sihat dan terjamin, anda disarankan untuk membaca lebih banyak buku-buku tentang pengurusan kewangan, makin banyak anda membaca, makin luas pengetahuan anda mengenai pengurusan kewangan yang sihat. Oleh itu, jadikanlah membaca itu sebagai satu amalan.

      Sunday, February 13, 2011

      Elakkan termakan pujukan rakan-rakan

      Seboleh-bolehnya elakkan termakan pujukan rakan anda apabila mereka mengajak anda untuk keluar ber'shopping'. Sememangnya benar,bagi seorang yang gemar ber'shopping', apabila mereka berbelanja,mereka akan rasa seronok dan masalah yang mereka ada juga akan hilang buat seketika terutamanya apabila ber'shopping' menggunakan kad kredit. Tapi apabila hujung bulan, anda yang merana untuk membayar hutang kad kredit, rakan anda sama sekali tidak akan menolong anda membayar hutang anda. Ini kerana mereka sendiri mempunyai masalah untuk membayar hutang kad kredit mereka.

      Saturday, February 12, 2011

      Membayar bil, kad kredit dan hutang tepat pada masanya

      Penting untuk anda membayar semua bil-bil, kad kredit dan hutang tepat pada masanya agar anda tidak dikenakan dengan caj lewat bayar. Membayar caj lewat bayar ini hanya akan membazirkan duit. Buat satu reminder yang akan mengingatkan anda untuk membayar semua hutang-hutang anda. Untuk lebih mudah lagi, anda boleh membayar menggunakan kemudahan online banking. Lagi senang, bukan sahaja menjimatkan wang, malah menjimatkan masa anda untuk beratur di kaunter pembayaran.

      Friday, February 11, 2011

      Bawa bekalan makanan sendiri

      Dengan membawa bekalan makanan sendiri, anda mampu menjimatkan wang dari membeli makanan diluar. Mungkin ia akan mengambil masa anda sedikit dalam menyediakan bekalan ini, tapi ia berbaloi kerana ia  dapat membantu anda mengurus kewangan anda dengan lebih baik dan menjaga kesihatan anda.

      Thursday, February 10, 2011

      Penggunaan Kad Kredit tanpa faedah

      Apabila anda hendak menggunakan kad kredit, gunakan kad kredit tanpa faedah. Dengan cara ini anda tidak akan membayar lebih dari sepatutnya. Contohnya dress murah yang anda beli ketika sale menjadi lebih mahal akibat menggunakan kad kredit dengan faedah. Oleh itu gunakan kad kredit tanpa faedah  dan yang menetapkan supaya semua baki pinjaman dibayar pada setiap hujung bulan.

      Wednesday, February 9, 2011

      Tetapkan matlamat

      Tetapkan satu matlamat yang anda ingin capai. Contohnya ingin bercuti ke luar negara pada hujung tahun atau ingin membeli rumah dalam masa 2 tahun lagi. Dengan cara ini ia akan dapat memotivasikan anda untuk menambah simpanan dan seterusnya mengurangkan perbelanjaan terutamanya terhadap benda-benda yang tidak diperlukan.

      Tuesday, February 8, 2011

      Bawa wang secukupnya

      Untuk memastikan yang kita tidak akan boros pada hari ini, bawa duit yang secukupnya untuk hari ini.  Contohnya saya hanya perlu RM15 sahaja hari ini cukup untuk tambang LRT,sarapan, dan makan tengahari. Jadi walaupun saya ternampak dress cantik, tapi duit yang tidak cukup akan membatalkan niat saya ini dan seterusnya membuatkan saya cuma berbelanja di dalam linkungan 'budget' saya pada hari itu dan secara tak langsung membolehkan saya belajar mengurus kewangan saya dengan lebih baik lagi.

      Monday, February 7, 2011

      Sediakan Tabung

      Salah satu cara saya untuk memastikan yang saya tidak "kering" duit ialah dengan cara membuat tabung. Saya menyediakan 5 tabung dimana setiap satunya ada peranan tersendiri. Satu tabung untuk simpanan harian, satu tabung untuk baki duit syiling pada setiap hari, satu tabung untuk perbelanjaan pergi bercuti yang akan dirancang nanti, satu tabung untuk kecemasan dan satu tabung untuk barang yang menjadi idaman.Cara ini sentiasa membuatkan saya ada duit tatkala kawan-kawan saya mengeluh tentang duit gaji yang tidak cukup walaupun belum hujung bulan.

      Sunday, February 6, 2011

      Kepentingan simpanan kecemasan

      Penting untuk ada simpanan kecemasan kerana anda tidak tahu bila anda akan memerlukannya. Setiap bulan asingkan sedikit daripada gaji anda untuk disimpan. Apabila ada kecemasan seperti anak sakit, ibu sakit, dan kereta rosak bolehlah duit simpanan kecemasan itu digunakan.

      Saturday, February 5, 2011

      Kebaikan mengumpul duit syiling

      Simpan duit syiling baki daripada pelbagai bayaran anda untuk hari itu seperti membayar duit tol, baki dari membeli barangan runcit, dan kemudian kumpulkan baki duit itu sehingga cukup sebulan dan lihat hasilnnya. Cuba anda bayangkan, dalam sehari anda dapat mengumpul sebanyak RM1.50, sebulan anda akan dapat RM45, bayangkan bila anda mengumpulnya selama setahun. Anda pasti akan terkejut dengan jumlah yang terkumpul. Dengan jumlah itu anda mampu memiliki barang idaman anda tanpa perlu berhutang dan tanpa perlu mengusik sedikit pun gaji anda.

      Sediakan jadual belanjawan

      Sediakan satu jadual belanjawan anda sendiri. Seelok-eloknya jadual untuk setiap hari, kalau tidak boleh, buatlah jadual untuk seminggu. Dalam jadual itu, letakkan jumlah belanjawan contohnya, RM15 sehari. Pastikan perbelanjaan anda tidak melebihi jumlah belanjawan anda pada hari itu, sebaik-baiknya cuba untuk simpan sedikit baki daripada belanjawan anda agar dapat disimpan.

      Friday, February 4, 2011

      Bezakan antara keperluan dan kehendak

      Belanja hanya bila perlu sahaja. Bezakan antara keperluan dan kehendak. Keperluan bermaksud anda perlu memiliki barang tersebut untuk memenuhi kehidupan seharian anda, manakala kehendak bermaksud anda mahu memiliki barang tersebut tetapi tanpa barang tersebut anda masih mampu untuk meneruskan hidup seperti biasa.
      Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...